Kuala Lumpur : Sebanyak 24,466 kes baharu Covid-19 direkodkan di negara ini semalam, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 3,419,636 kes setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 246 kes daripada keseluruhan kes harian yang dilaporkan itu adalah kes import.
Beliau berkata, 24,361 kes atau 99.57 peratus terdiri daripada pesakit positif kategori satu dan dua manakala 105 kes atau 0.43 peratus lagi pesakit kategori tiga hingga lima.
“Berdasarkan pecahan kes kategori tiga hingga lima, 25 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, menerima dua dos vaksin (56 kes) dan sudah menerima dos penggalak (24 kes).
“Pesakit dalam kategori berkenaan juga adalah kalangan berusia 60 tahun ke atas (53 kes) dan mempunyai komorbid (36 kes),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, 353 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 146 kes disahkan Covid-19 manakala 207 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.
Katanya, kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 193 kes iaitu 86 kes disahkan Covid-19 dan 107 kes disyaki, kemungkinan serta dalam siasatan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan 22,380 kes sembuh Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 3,085,940 kes iaitu 90.2 peratus daripada keseluruhan kes,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, lima kluster baharu dikesan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kluster meningkat kepada 6,779 dengan 484 kluster aktif.
-Harian Metro

