JAKARTA: Indonesia menyediakan sebanyak 1,011 hospital serta 82,168 katil di seluruh negara sebagai persiapan berdepan varian Omicron yang amat mudah menular dan memungkinkan peningkatan kes COVID-19, menurut Pejabat Eksekutif Presiden Indonesia (KSP).
Penasihat Kanan KSP, Abraham Wirotomo, berkata kerajaan telah menyediakan peralatan perlindungan diri, ubat-ubatan dan diagnostik serta keperluan perubatan lain yang mencukupi bagi tempoh tiga bulan akan datang.
“Memandangkan kemungkinan lebih ramai pelancong asing berkunjung ke Indonesia dalam tempoh beberapa bulan akan datang, perkhidmatan kesihatan perlu bersedia menghadapi kemungkinan lonjakan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, beberapa hospital COVID-19 telah memperketat syarat lawatan dan mengehadkan kemasukan ke hospital bagi pesakit bukan COVID-19, untuk mengelakkan peningkatan kes secara mendadak.
Sebanyak 138 jangkitan varian Omicron dikesan, setakat ini, membabitkan 135 kes import dan tiga lagi penularan tempatan – satu di Jakarta dan dua di Surabaya.
Indonesia menjadi pusat wabak COVID-19 di Asia dengan 54,000 kes direkodkan pada pertengahan Julai tahun lalu, namun trend jangkitan kini semakin menurun.
Semalam, data dikumpulkan Pasukan Petugas COVID-19 Indonesia menunjukkan jumlah kes positif menurun kepada 174 berbanding 274 pada hari sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan 4,263,168 kes.
Bernama-

