SHAH ALAM: Semua laluan keluar masuk Plaza Tol Shah Alam berdekatan Seksyen U8 Bukit Jelutong, di sini, sudah boleh dilalui kenderaan sejak jam 10 pagi tadi.
Terdahulu, sebahagian jalan ke plaza tol berkenaan tidak boleh dilalui selepas dinaiki air berikutan hujan lebat melanda Shah Alam sekitar jam 4 pagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pada awal pagi tadi, beberapa lorong yang dinaiki air di plaza tol berkenaan ditutup.
“Kawasan lain masih dalam keadaan baik, hujan juga sudah reda dan plaza tol berkenaan kini sudah boleh dilalui,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, dua rakaman video dikongsi pengguna laluan berkenaan di aplikasi WhatsApp, memaparkan air melimpah ke jalan di kedua-dua arah plaza tol berkenaan.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Twitter dan Facebook rasminya memaklumkan, orang ramai dinasihatkan tidak melalui kawasan TTDI Jaya dan stadium di Seksyen 13, susulan paras air kembali meningkat selepas hujan kira-kira 4 pagi tadi.
BHonline-

