IRAN dan Rusia optimis dengan rundingan bagi menghidupkan semula Perjanjian Nuklear 2015 yang sedang berlangsung di Vienna, Austria.
Tehran tidak menolak kemungkinan konsensus akan dapat dicapai sekiranya semua pihak terlibat menunjukkan sikap yang positif.
Tumpuan rundingan kini adalah tuntutan Iran supaya Amerika Syarikat menarik semula sekatan yang dikenakan ke atasnya, kata Menteri Luar Iran Hossein Amirabdollahian.
“Kami percaya sekiranya semua pihak terlibat dalam rundingan ini menunjukkan sikap yang baik, tidak mustahil persetujuan boleh dicapai.
“Dan sekiranya sikap baik ini ditunjukkan dalam pusingan rundingan seterusnya, tidak mustahil perjanjian ini boleh dimuktamadkan,” katanya di Tehran pada Selasa.
Rundingan pusingan ketujuh berakhir 11 hari lalu, dengan Iran menambah beberapa tuntutan dalam draf dokumennya.
Sebelum ini kuasa barat mendakwa rundingan tidak mencapai sebarang perkembangan, selepas pelantikan Presiden Baharu Ebrahim Raisi.
Pasukan perunding menyifatkan mereka kini kesuntukan masa sebelum perjanjian berkenaan terbatal sepenuhnya.
-Awani