Kuala Lumpur : Pihak polis tidak menolak kemungkinan wujudnya segelintir individu yang mengambil kesempatan berkaitan isu banjir untuk membuat kutipan derma bagi kegunaan peribadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung perkara itu setakat ini.
Katanya, kejadian banjir yang melanda kawasan di beberapa negeri baru-baru ini mengakibatkan kehilangan harta benda dan kerugian terhadap mangsa yang terbabit.
“Berdasarkan pemerhatian, pelbagai inisiatif kutipan derma dilancarkan oleh parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, individu persendirian dan lain-lain untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa terjejas.
“Kebiasaannya aktiviti kutipan yang bersifat kebajikan ini akan mendapat maklum balas positif daripada rakyat Malaysia.
“Justeru itu, kami tidak menolak kemungkinan wujudnya segelintir individu mengambil kesempatan berhubung isu banjir untuk membuat kutipan derma bagi kegunaan sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Kamarudin berkata, walaupun belum ada sebarang laporan diterima pihaknya, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam menyalurkan derma supaya ia benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Kami sentiasa memantau aktiviti kutipan derma terutama yang dilakukan melalui internet dan sebarang aktiviti meragukan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penipuan kutipan derma boleh menghubungi CCID Scam Response di talian 03-26101559/1599 atau membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.
-Harian Metro