JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang giat memburu 12 suspek warga Indonesia untuk membantu siasatan kes 1.8 juta liter diesel dianggarkan bernilai RM4.86 juta dicuri dari sebuah kapal tangki pada 5 Oktober lalu.
Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata semua suspek itu adalah kru kapal tangki terbabit yang dinamakan ‘Ocean Pride.’
Beliau berkata, tindakan itu diambil susulan Notis Merah dikeluarkan Polis Antarabangsa (INTERPOL) berhubung kes berkenaan.
Dalam insiden itu, katanya, Kapal Tangki MT Ocean Pride (IMO 9055565) yang berdaftar di Cook Islands, sedang berlayar dari Singapura menuju ke Dili, Timor Timur, bersama 12 kru warga Indonesia.
Namun pada jam 1 tengah hari, beliau berkata, Maritim Malaysia menerima laporan awam berkaitan kapal itu yang disyaki berlaku cubaan rompakan di kedudukan 23.6 batu nautika timur, Tanjung Siang, Johor.
“Hasil pemeriksaan aset Maritim Malaysia di lokasi mendapati kapal itu ditinggalkan tanpa kru, dan kargo diesel dianggarkan 1,800,305 liter yang bersamaan nilai RM4,860,823.50 juga telah dicuri dari kapal terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berikutan itu, Nurul Hizam berkata, 12 suspek diburu ialah Haryadi Tri Tomi dengan nombor pasport B9706316, Mangalik Despiandri (C7309394), Nordiansyah Muhammat (C1366351), Pasaribu Suherri Nanda (C2081744), Pinem Jendri (C6787829) dan Prasetyo Agung (C7021189).
Seterusnya, Saputra Pandu Prasetya (C7573439), Siddiq Muhammad (C7309737), Silaban Rusman (B6670491), Syahputra Haloho Marnaek (C7307752), Tarigan Harry Pranata (C7308182) dan Yusran (C3899964).
Beliau berkata, ia bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).
“Mana-mana pihak yang ada maklumat atau mengenali penama berkenaan, diminta menghubungi Komander (M) Mohd Affandi Ismail (03-89957935) di Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya, atau Leftenan (M) Mohd Feerdaus Daud (pegawai penyiasat 07-8916595) di Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor, atau ke pejabat Maritim Malaysia berhampiran,” katanya.
BHonline-

