IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membongkar kegiatan pemandu lori yang mencuri diesel milik syarikat tempat mereka bekerja sebelum menjualnya pada harga lebih rendah kepada sindiket.
Perkara itu terbongkar hasil serbuan Ops Tiris 2025 yang dijalankan kira-kira jam 6.10 petang semalam ke atas sebuah bengkel di Kampung Kepayang, di sini hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu.
Hasil serbuan itu, KPDN merampas 1,220 liter diesel, dua lori dan tangki simpanan pukal (IBC) berserta pam dengan nilai keseluruhan lebih RM132,000.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, berkata modus operandi sindiket mendapatkan diesel pada harga murah sekitar RM1.80 seliter daripada pemandu lori yang tidak amanah.
“Pemandu lori ini mencuri minyak diesel milik syarikat tempat mereka bekerja sebelum dijual kepada pihak industri di pasaran gelap pada harga sekitar RM2.40 seliter,” katanya melalui kenyataan.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, sejumlah 1,220 liter diesel dijumpai dalam tangki-tangki IBC di atas dua lori.
“Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada pengawal apabila diminta pasukan pemeriksaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
BHonline-


