Wednesday, November 29, 2023

Creating liberating content

Pemilik Kelab Komedi Cabar...

Kuala Lumpur : Pemilik kelab komedi Crackhouse, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan...

UTeM Juarai Pertandingan Intervarsity...

KUALA LUMPUR - Kelab Kebudayaan India Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) muncul juara...

AMMTC Ke-10: Penglibatan Rakan...

KUALA LUMPUR - Penglibatan tiga rakan dialog ASEAN iaitu China, Jepun dan Korea...

Bapa Maut Dipukul Anak...

KOTA BAHARU - Seorang lelaki warga emas maut selepas dipukul bertalu-talu oleh anak...

“Doktor Kita Dipikat Tawaran Lumayan Hospital Singapura”

JOHOR BAHRU – Malaysia bakal ‘kehilangan’ beratus doktor serta jurururawat berikutan tindakan beberapa hospital di Singapura menawarkan kontrak lumayan dan insentif menarik untuk mereka bekerja di negara itu.

Tawaran bekerja di rangkaian hospital awam republik itu dikatakan menarik minat ramai doktor dan jururawat negara ini untuk berhijrah, khususnya dalam kalangan mereka yang masih berstatus kontrak ketika ini.

Antara faktor yang mencetuskan minat mereka ialah tawaran gaji sehingga mencecah 10 kali ganda berbanding gaji yang diperoleh di negara ini.

Selain itu, majikan di negara jiran terbabit menawarkan bantuan dari segi dokumentasi seperti kuarantin, permit kerja dan proses imigresen serta lesen daripada Lembaga Perubatan Singapura (SMC) bagi membolehkan mereka memulakan tugas dengan segera.

Hospital di Singapura dilaporkan berminat mendapatkan khidmat doktor berpengalaman dan jururawat terlatih, khususnya yang bertugas menjaga pesakit COVID-19 di wad ICU susulan peningkatan kes COVID-19 di negara seberang Tambak Johor itu.

Pakar anestesiologi sebuah hospital swasta, di sini, Dr Mafeitzeral Mamat, berkata sebuah syarikat kesihatan swasta serantau yang berperanan seperti agensi pencari kerja, sedang giat menawarkan tempat kepada doktor dan jururawat di negara ini untuk bekerja di Singapura.

Dr Mafeitzeral yang sebelum ini pernah menjadi doktor sukarelawan di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh, Selangor, berkata tawaran yang dibuat syarikat berkenaan adalah susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 di Singapura sehingga menjejaskan sistem kesihatan republik itu yang mempunyai tenaga kerja terhad.

Bagaimanapun, beliau bimbang keadaan itu boleh memberi kesan terhadap perkhidmatan kesihatan di dalam negara sekiranya kerajaan tidak melakukan sesuatu.

“Tawaran terbuka yang dibuat syarikat kesihatan swasta itu sememang menjadi perbualan dalam kalangan pengamal perubatan tempatan. Malah, hospital di tempat saya bertugas juga sudah ramai doktor dan jururawat terlatih yang menyahut tawaran lumayan itu.

“Yang pasti, doktor kita yang berpengalaman menjaga pesakit COVID-19 di ICU Malaysia akan dapat keutamaan untuk bekerja di Singapura.

“Di Malaysia, doktor yang bertugas di ICU pun tak ramai dan tentunya dalam jangka masa panjang ia boleh menjejaskan sistem kesihatan negara,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, adalah satu bentuk kerugian kerana pegawai perubatan di ICU sememangnya dalam kalangan pekerja yang terbaik.

“Jika tawaran dari Singapura ini memang lebih baik daripada apa yang ditawarkan di dalam negara, ia seperti the best offer for the best people. Jadi rugilah kalau tawaran yang lumayan dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Difahamkan, beberapa minggu kebelakangan ini syarikat perubatan yang mewakili hospital di Singapura menggunakan media sosial mengiklankan tawaran kepada doktor di negara ini untuk berkhidmat di rangkaian hospital awam di republik itu.

Antara syarat yang ditetapkan, doktor atau jururawat perlu mempunyai pengalaman perkhidmatan sekurang-kurangnya tiga tahun.

Sebagai contoh, doktor atau pegawai perubatan (MO) dari Malaysia ditawarkan gaji S$10,000 (RM30,786) sebulan, manakala jururawat pula antara $2,500 (RM7,696) hingga $S5,000 (RM15,393) sebulan, bergantung kepada pengalaman mereka.

Tawaran ini jauh lebih tinggi berbanding gaji MO berstatus kontrak di bawah Kementerian Kesihatan (KMM)

MO kontrak di bawah gred gaji UD41 dilaporkan memperoleh pendapatan RM3,100 sebulan, berbanding kakitangan tetap yang memperoleh RM3,700 di bawah Gred UD44.

Gaji doktor perubatan atau terma rasminya ‘Pegawai Perubatan’ diletakkan bermula dalam gred penjawat awam UD41, memerlukan seseorang itu mempunyai kelulusan pendidikan ijazah sarjana muda perubatan.

Untuk doktor baru graduasi, mereka akan menerima gaji minimum RM2,947, belum termasuk elaun.


Mereka menerima lima elaun iaitu elaun perumahan, elaun tetap, kritikal, COLA dan elaun on-call, yang mampu memberikan pendapatan doktor Gred UD41 sebanyak RM4,547 sebulan.

Bagi jawatan pembantu pegawai perubatan dan jururawat pula, kedua-dua jawatan ini mempunyai dua kategori tangga gaji, antara Gred U29 ke Gred U36, yang memerlukan kelulusan diploma atau Gred U41, khusus untuk pemegang ijazah.

Gaji minimum yang diterima mereka bermula pada tahap RM1,797 untuk Gred U29, dengan elaun perumahan dan elaun tetap, menjadikan jumlah minimum semuanya RM2,257.

Sementara itu, seorang doktor kontrak yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Kay turut mengakui sejak minggu lalu beberapa rakannya yang juga doktor di beberapa hospital awam memperoleh tawaran bekerja di Singapura yang diberikan melalui mesej di media sosial.

Dr Kay yang bertugas di sebuah hospital kerajaan berkata, tawaran kontrak lumayan untuk berkhidmat di hospital di Singapura selama enam bulan itu memang menjadi isu hangat terutama dalam kalangan doktor kontrak.

“Ramai doktor khususnya doktor kontrak yang bersedia menerima tawaran itu, namun ada juga yang lebih memikirkan perjalanan kerjaya mereka selepas tamat kontrak enam bulan di republik itu.

“Ini kerana jika mereka menerimanya, bermakna selepas itu mereka tidak boleh kembali ke sektor awam dan terlepas peluang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.

“Namun, jika tawaran itu ada jaminan kukuh, seperti diserapkan ke perkhidmatan tetap di sektor kesihatan Singapura, maka lebih ramai lagi doktor terutama doktor kontrak akan beralih ke republik itu.

“Jika ini berlaku, sudah tentu sektor kesihatan Malaysia akan terkesan kerana ramai doktor yang berpengalaman, termasuk doktor kontrak akan berhijrah mencari peluang baharu yang lebih stabil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau percaya ramai doktor kontrak menantikan kenyataan daripada KKM, sama ada mereka tidak mahu kehilangan doktor dan doktor kontrak berpengalaman ke republik itu atau sebaliknya.

Kaji tawar peluang kerja menarik kepada doktor

Kementerian Kesihatan (KKM) diminta mengkaji pendekatan lebih menyeluruh untuk memberi peluang kerja lebih menarik yang diperlukan oleh pegawai perubatan di negara ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai, berkata langkah itu bagi mengelakkan penghijrahan pegawai perubatan berkualiti dan berpengalaman sehingga menjejaskan sektor kesihatan negara.

“KKM harus memastikan tidak berlaku penghijrahan besar pegawai perubatan berkualiti, yang akhirnya akan menjejaskan kualiti sistem kesihatan negara,” katanya.

Beliau mengulas tawaran lumayan sektor kesihatan Singapura kepada pegawai (MO) dan jururawat negara ini untuk bekerja di negara itu.

Beberapa doktor di negara ini mendedahkan pegawai perubatan dan jururawat berpengalaman di negara ini ketika ini ditawarkan untuk berkhidmat secara kontrak di rangkaian hospital awam republik itu, susulan peningkatan kes COVID-19 di negara seberang Tambak Johor itu.

Dr Kar Chai tidak menolak kemungkinan pegawai perubatan yang kini masih bertugas di KKM akan mengambil kesempatan untuk menerima tawaran berkenaan, namun tidak dapat dipastikan berapa ramai MO yang akan mengambil tindakan demikian.

“Setiap pegawai perubatan ada hak untuk membuat pilihan sendiri. Untuk menerima tawaran ini, pegawai perubatan yang berkenaan harus meletak jawatan dahulu daripada KKM.

“Selepas meninggalkan KKM, doktor itu tidak ada peluang lagi untuk bekerja semula di KKM. Cita-cita melanjutkan pembelajaran kepakaran pun akan terjejas kecuali doktor itu memang berniat untuk melanjutkan pembelajaran di negara asing.

“Bagaimanapun, pegawai perubatan yang tamat kontrak di KKM mungkin akan ambil peluang ini untuk bekerja di Singapura, sementara menunggu untuk mencapai hasrat mereka yang tertentu,” katanya. – BH Online

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori