KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diminta tidak panik dengan laporan berita di peringkat global mengenai penularan hantavirus yang boleh membawa maut jika dijangkiti disebabkan oleh tikus.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau rapi perkembangan jangkitan tersebut.
“Malaysia setakat ini adalah terkawal. KKM mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan kesiapsiagaan negara berada pada tahap tertinggi.
“Rakyat tidak perlu panik, tetapi kita mesti kekal berwaspada,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Dr. Dzulkefly menjelaskan, hantavirus sejenis virus bawaan tikus yang merebak kepada manusia melalui udara tercemar dengan sisa kotoran, air kencing atau air liur haiwan tersebut.
Menurut beliau, jangkitan itu tidak wajar dipandang remeh kerana komplikasinya berpotensi membawa maut dengan kadar kematian bagi Sindrom Paru-paru Hantavirus (HPS) mencecah 30 hingga 40 peratus.
Kata beliau, tiada ubat antivirus khusus bagi merawat jangkitan itu buat masa ini, maka langkah pencegahan dan kawalan kendiri adalah perisai pertahanan yang paling ampuh.
“Saya menggesa seluruh rakyat agar mengambil peduli tentang kebersihan persekitaran dan memastikan kediaman serta premis kerja bebas daripada haiwan perosak,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dr. Dzulkefly Ahmad


