DALAM sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، كَانَ دَوَاءً مِنْ تِسْعَةٍ وَتِسْعِينَ دَاءً، أَيْسَرُهَا؛ الْهَمُّ
Maksudnya: “Sesiapa yang mengucapkan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ’, maka ia adalah penawar daripada 99 penyakit, dan yang paling ringan adalah perasaan bimbang dan keluh kesah.”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1990), al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (5028) dan al-Baihaqi dalam al-Da‘awat al-Kabir (178). Al-Hakim menyatakan hadith ini sahih. Manakala hadith ini dinyatakan sebagai dha’if di dalam kitab Dha‘if al-Jami‘ (6286).
Imam al-Syaukani berkata: “Zahirnya, sesungguhnya zikir ini adalah penawar dengan bilangan yang disebutkan, dan boleh jadi ia adalah lebih daripada itu. Maka maksudnya, ia adalah penawar kepada seluruh penyakit di mana seringan-ringannya ialah al-Hamm (yakni keluh kesah). Penyakit tersebut merangkumi penyakit-penyakit batin seperti takabbur, ujub, syirik tersembunyi dan hawa nafsu, ataupun yang lebih umum daripada itu. Dan inilah yang jelas.”
Manakala al-Qari berkata, iaitu daripada penyakit-penyakit duniawi dan ukhrawi. Maksud yang paling ringan adalah yang paling sedikit dan paling mudah. Al-Hamm (keluh kesah) di sini merangkumi jenis yang berhubung dengan agama atau dunia, atau keresahan kehidupan dan dukacita hari akhirat.
Al-Munawi pula berkata: “Demikian itu kerana seorang hamba, apabila terlepas daripada asbab, maka hatinya akan gembira dan bahagia, dukacitanya akan terlerai, serta akan datang kepadanya kekuatan, pertolongan dan dokongan.” (Lihat Mir’at al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 17/261)
Marilah sama-sama kita melazimi dan memperbanyakkan zikir: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ’
Sumber: Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Mohon share tuan..