KEZALIMAN yang sedang berlaku di Palestin sangat menyayat hati. Sudah terang lagi bersuluh kekejaman rejim zionis Yahudi Israel tiada tolok bandingan.
Ratusan umat Islam negara itu termasuk anak-anak kecil dan golongan rentan dilaporkan telah terbunuh semasa artikel ini ditulis.
Dengan alasan mempertahankan diri, tentera Israel membunuh nyawa mereka yang tidak bersalah sewenang-wenangnya.
Mengebom rumah orang awam Palestin saban hari kononnya bagi menyekat penentangan mujahidin briged Al Qassam.
Kita sebagai umat Islam Malaysia berasa amat marah dan geram dengan nasib menimpa saudara-saudara kita di Palestin.
Namun tidak salah dalam keadaan itu kita renungi sejenak apakah tahap ketaqwaan umat Islam kita di sini sekuat umat Islam di Palestin?
Adakah secekal umat Islam Palestin yang teguh mempertahankan negara mereka atas nama agama dan kebenaran?
Atau adakah ramai kita di sini sekadar buih di laut seperti yang pernah disabdakan oleh Rasulullah S.A.W?

Bilangannya ramai, tetapi kurang keimanan kerana ditimpa penyakit al-Wahn iaitu cintakan dunia dan takut akan kematian.
Dalam konteks ini, kita perlu menginsafi dan mempelajari sesuatu daripada saudara-saudara seagama kita di Palestin.
Meneladani betapa ketaqwaan mereka terhadap Allah S.W.T walau apa ancaman, masalah dan kesulitan dialami.
Benar iman tidak dapat diwarisi, tetapi ia boleh disemai bermula dari rumah sehingga ke peringkat kepimpinan setempat.
Ketua keluarga boleh meningkatkan syiar Islam di rumah dengan mendidik isteri dan anak-anak tentang ketaqwaan.
Pemimpin setempat boleh meningkatkan syiar Islam dengan melaksanakan pelbagai program penerapan keimanan di kawasan mereka.


Menelusuri pendapat itu, penulis teringat tentang pembinaan Pusat Dakwah atau lebih dikenali sebagai Pondok Moden di Jeli.
Pondok Moden itu dibina bagi memastikan program dakwah di daerah itu dilaksanakan dengan lebih sistematik dan tersusun.
Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, pusat itu ditubuh berorientasikan institusi sekolah pondok yang banyak di Kelantan.
Sejak Pondok Moden Jeli diilhamkan Datuk Seri Mustapa Mohamed tertubuh pada 2008, pelbagai aktiviti agama berlangsung di situ.
Antaranya Kelas Al-Quran dan Tafsir, Program Pemantapan Akidah, Kem Ibadat Parlimen Jeli, Kem Sahsiah Remaja Parlimen Jeli.


Malah dianggarkan setiap Jumaat lebih 200 peserta hadir mendalami ilmu agama di Pondok Moden sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Kewujudan Pusat Dakwah Jeli antara yang wajar dicontohi dalam usaha meningkatkan lagi syiar Islam di negara ini.
Dalam kekangan pandemik Covid-19, program-program pemantapan akidah secara bersemuka mungkin tidak dapat dilakukan.
Bagaimanapun ia bukan satu alasan untuk tidak meneruskannya kerana kemudahan komunikasi serba canggih boleh dimanfaatkan sepenuhnya.
Walau apa pun kita terus mendoakan rakyat Palestin beroleh keselamatan dan kemenangan dalam perang dihadapi mereka kali ini.
Dan pada masa yang sama, sambil terus memperjuangkan nasib Palestin, kita berusaha memperkuatkan ketaqwaan anggota masyarakat kita. – Mynewshub.TV