KUALA LUMPUR – Virus SARS-CoV-2 dikenal pasti boleh disebarkan melalui kaedah aerosol, iaitu titisan air liur mikroskopik dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar yang terhasil daripada pembawa atau pesakit COVID-19.
Air liur mikroskopik terhasil apabila individu terbabit batuk, bersin atau menjerit, selain titisan bendalir itu mampu berterbangan pada jarak antara 10 hingga 20 meter (m) dan bertahan di ruang udara selama beberapa jam.
Malah, aerosol itu dikenal pasti mampu menembusi pelitup muka, walaupun penjarakan fizikal sejauh 1.5m diamalkan.
Pakar jantung dari Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Onn Akbar Ali, berkata keadaan itu diburukkan lagi apabila aerosol terbabit terperangkap di kawasan tertutup dan tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik.
Selain itu, katanya, penggunaan pendingin hawa di kawasan tertutup akan mengeruhkan lagi keadaan kerana ia akan menyebabkan aerosol merebak, sekali gus meningkatkan risiko individu lain dijangkiti COVID-19.
“Ini (aerosol) antara sebab kenapa makmum solat tarawih di saf ke-10 batuk atau bersin tetapi imam atau bilal di saf hadapan dijangkiti COVID-19, walaupun kesemua mereka memakai pelitup muka ketika solat.
“Ruang terkurung, rumah atau masjid jika tingkap dan pintu tertutup… tiada pengudaraan berlaku dan udara di dalam tak boleh keluar, udara segar tidak boleh masuk. Tanpa pengudaraan, risiko penularan penyakit sangat tinggi.
“Justeru, selain mengurangkan bersentuhan dan mengamalkan cuci tangan, pakai pelitup muka dan penjarakan fizikal, kalau kita masuk ruang tertutup kena pastikan ada pengudaraan,” katanya dalam satu video di muat naik di media sosial. – BH Online

