KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dikenakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, dan Maahad Tahfiz al-Quran al-Ariah, Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan.
Pelaksanaan PKPD di dua lokaliti ini dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) merekod peningkatan kes COVID-19 secara mendadak.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata KKM melaksanakan 228 ujian saringan di SMKA Johor Bahru dan 13 kes positif COVID-19 direkodkan.
“Setelah membuat penilaian risiko, bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal (PKP), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di sekolah berkenaan bermula 23 April (esok) sehingga 6 Mei 2021.
“Pelaksanaan PKPD untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terbabit dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar,” katanya hari ini.
Ismail Sabri berkata, KKM melaksanakan 46 ujian saringan di Maahad Tahfiz al-Quran, Banggol Chicha dan 28 kes positif COVID-19 direkodkan.
“Sama seperti SMKA Johor Bahru, PKPD di Maahad Tahfiz al-Quran ini dilaksanakan bermula 23 April hingga 6 Mei 2021,” katanya. – myMetro Online

