KUALA TERENGGANU – Mayat tanpa identiti yang ditemukan di tepi jalan di Kampung Padang Air di Kuala Nerus pada Sabtu lalu dipercayai wanita.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, ia berdasarkan bentuk fizikal mangsa termasuk pemeriksaan terhadap betis kaki kanan mangsa yang masih terselamat daripada rentung.
“Kita percaya mangsa adalah wanita namun punca kematian mangsa sukar untuk ditentukan kerana mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sebelum dibakar.
“Sebahagian besar anggota badan mangsa sudah terbakar kecuali betis kaki kanan dan keadaan itu menyukarkan kita untuk mengenal pasti punca kematiannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd Marzukhi berkata, polis sedang menyiasat daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan mangsa berada dalam senarai kes orang yang dilaporkan hilang sebelum ini.
Katanya, pihaknya ada menerima satu laporan daripada orang awam yang mendakwa mangsa adalah ahli keluarga mereka.
“Kita akan membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan keputusan itu sedikit sebanyak dapat membantu kita mengenal pasti identiti mangsa.
“Mengenai suspek pula, kita masih menjalankan siasatan lanjut dan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat diperlukan bagi membantu siasatan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang tukang sapu menemui mayat tanpa identiti yang terbakar di tepi jalan di Kampung Padang Air di Kuala Nerus pada Sabtu.
Kejadian disedari lelaki terbabit ketika mahu memulakan tugasnya di lokasi berkenaan kira-kira 7.15 pagi sebelum ternampak asap di dalam semak berhampiran. – myMetro Online