KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di dua negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika ini dijangka memberi tempias terhadap kadar unjuran pertumbuhan ekonomi 2021.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kadar pertumbuhan semasa ekonomi adalah negatif 5.3 peratus, susulan pelbagai kesan daripada pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, katanya, situasi ekonomi yang merudum itu diunjur kembali berkembang pada kadar tujuh hingga lapan peratus menjelang tahun depan, selari usaha pemulihan pasca pandemik COVID-19.
“Unjuran itu adalah daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menjangkakan Malaysia antara negara paling pantas dapat pulih daripada COVID-19.
“Sekiranya kadar pertumbuhan itu berupaya dicapai, ia dapat mengurangkan pelbagai masalah dihadapi golongan miskin kerana bakal mencetuskan kesan limpah terhadap ekonomi domestik.
“Tetapi, susulan PKPB di Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mengikut statistik menyumbang hampir 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sukar untuk kita buat ramalan kadar perkembangan ekonomi pada 2021.
“Kerajaan sentiasa memantau dengan rapi perkembangan semasa, namun langkah PKPB ini mungkin akan menjejaskan unjuran perkembangan ekonomi pada kadar tujuh hingga lapan peratus,” katanya dalam wawancara bersama ASTRO Awani, malam tadi.

Menyentuh inti pati Belanjawan 2021, Mustapa berkata, kerajaan merintis usaha dengan menyediakan pelbagai pakej dan insentif menjangkau RM305 bilion sebelum ini bagi membantu rakyat.
Sekiranya diteliti saiz peruntukan yang disediakan menerusi empat pakej fiskal dan rangsangan sejak April lalu, beliau berkata perangkaan berkenaan adalah lebih besar daripada belanja mengurus untuk kerajaan.
“Ia boleh dikatakan belanjawan mini, namun apa yang pasti kerajaan kena terus berbelanja kerana defisit itu tidak lagi relevan sekarang dalam situasi negara berdepan pandemik kesihatan.
“Ada juga pandangan mengatakan kita perlu beri peruntukan lebih kepada belanja struktur, namun semuanya akan diteliti supaya belanjawan ini dapat mencakupi kepentingan segenap rakyat.
“Kita perlu pastikan tiada rakyat yang tersisih daripada menerima bantuan kerana masing-masing terjejas angkara COVID-19,” katanya. – BH Online
