KUALA SELANGOR – Kerajaan Selangor menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada individu yang memberi maklumat sehingga menjurus kepada penangkapan dan pendakwaan terhadap pihak yang melakukan pencemaran sungai di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, berkata ganjaran itu akan diberi jika maklumat itu berjaya membawa kepada penangkapan penjenayah alam sekitar itu sehinggalah mereka disabit kesalahan di mahkamah.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan meminda Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan hadapan, bagi mengenakan hukuman lebih tegas kepada penjenayah alam sekitar.
“Dalam sidang DUN pada 1 November ini, kita akan naikkan denda kepada minimum RM200,000 hingga RM1 juta, dan penjara tidak lebih tiga tahun.
“Untuk galakkan orang ramai membuat aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan pencemaran sungai, kita akan beri ganjaran RM20,000 selepas proses siasatan dan hukuman dijatuhkan di mahkamah,” katanya pada sidang media di Muka Sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 di sini, hari ini. – BH Online