Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

Mangsa Banjir Di Kelantan...

KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 3,774 orang...

Dana Khas RM4 Bilion...

KUALA LUMPUR - Dana khas bagi pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat India akan...

Lindungi Rumah Urut, 2...

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lagi individu dalam...

Tiada Pertalian Darah, Dua...

DUA orang wanita yang tiada hubungan kekeluargaan mahupun pertalian darah ini memiliki wajah...

Bekas SUSK Bekas Menteri Dituduh Rasuah RM3.1 Juta

KUALA LUMPUR – Bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas menteri pelancongan, seni dan budaya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, harı ini, atas 18 pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM3,129,015 daripada pemilik sebuah syarikat bagi mendapatkan tender perkhidmatan pengiklanan di bawah kementerian itu.

Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, 29, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Sementara itu, tunangnya, Nurfadziana Abdul Kadir, 28, juga mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersubahat dengan Mohd Saifullah dalam melakukan kesalahan rasuah dengan menerima suapan RM232,000.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur iaitu  di Red Box Karaoke dan Coffee Bean di pusat beli belah Pavilion, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Vipod Residences, di Maybank Taman Tun Dr Ismail dan Wisma Genting dan di pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Putrajaya antara 19 Januari hingga 29 Julai, 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Md Yunos Sharif.

Mengikut 14 pertuduhan, Mohd Saifullah didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah berjumlah RM2,871,500 daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada serta Abdul Halim Khuajah.

Ia sebagai upah untuknya yang berjanji mendapatkan tender ‘Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan dan Kreatif Untuk Kempen Pengiklanan Tourism Malaysia’ serta ‘Perkhidmatan Pembelian Ruang Iklan Bagi Pasaran Negara-Negara Asia Utara dan Asia Timur Tourism Malaysia’ untuk Inter Bev Network.

Tertuduh juga didakwa berjanji untuk mendapatkan tender ‘RFP-Global Advertising Agency And Promotion For Tourism Malaysia’ kepada syarikat Plan B Digital Sdn Bhd. 

Bagi  tiga pertuduhan pula, Mohd Saifullah didakwa secara rasuah meminta daripada Ronald melalui Roslan iaitu pembayaran deposit dan sewaan seunit rumah di Vipod Residences, No. 6, Jalan Kia Peng, di sini, berjumlah RM20,015 melalui cek Maybank yang diberikan kepada Roslan. 

Dia juga didakwa menerima suapan daripada Ronald bagi pembayaran sewa rumah sama berjumlah RM5,500 secara pindahan akaun Maybank melalui Roslan. 

Mengikut satu lagi pertuduhan, Mohd Saifullah dituduh menerima suapan RM232,000 daripada Ronald melalui tunangnya, Nurfadziana berhubung perkara sama.


Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 manakala Nurfadziana dituduh mengikut Seksyen 28 (1) dan kedua-dua mereka  boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama. 

Ia membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dgn seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah sebelum 2 Sept serta melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran pada minggu pertama setiap bulan manakala Nurfadziana dibenarkan diikat jamin RM100,000 beserta syarat sama.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kedua-dua kes itu.

Terdahulu, Farah Yasmin memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan membantah sebarang jaminan terhadap Mohd Saifullah atas alasan terdapat kebarangkalian tertuduh melarikan diri sekiranya dibebaskan dengan jaminan.

Permohonan pendakwaan ini disokong oleh afidavit pegawai penyiasat bahawa usaha-usaha telah dijalankan oleh SPRM dalam mengesan tertuduh semasa tempoh siasatan pada 10 Jun hingga 11 Julai lalu. 

Bagi Nurfadziana pula, Farah Yasmin berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana melibatkan wang RM232,000 dan menawarkan jaminan RM500,000.

Md Yunos pula berhujah jika dibaca secara keseluruhan kandungan afidavit tersebut ia hanya menyatakan SPRM gagal mengesan Mohd Saifullah berdasarkan usaha yang dilakukan tetapi tiada dalam afidavit yang menyatakan tertuduh mengelak atau melarikan diri daripada SPRM.

“Dalam afidavit itu tertuduh telah menyerahkan diri kepada SPRM pada 14 Ogos dan tidak pernah melarikan diri dari SPRM sebaliknya membantu siasatan. Kami mohon jaminan rendah serta munasabah terhadap Mohd Saifullah manakala  RM50,000 bagi Nurfadziana,” katanya. – BERNAMA

Kategori