KUALA LUMPUR – Resolusi berkaitan garis panduan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) hari ini akan dibawa ke Majlis Raja-Raja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata ia sebagai pandangan dan nasihat untuk dipertimbang serta diputuskan pihak berkuasa agama negeri.
Katanya, urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja, selari dengan Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK
“Saya amat menjunjung hikmah dan kebijaksanaan Raja-Raja Melayu dalam mempertimbang dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di negeri dan Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan dan negeri tidak beraja.
“Buat masa ini, saya menyeru seluruh umat Islam untuk mematuhi segala peraturan berkaitan penangguhan aktiviti keagamaan di masjid dan surau dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri dan sentiasa memanjatkan doa agar wabak ini beransur hilang.
“Yakinlah bahawa akan tiba saatnya masjid dan surau kembali meriah dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan diimarahkan dengan sebaiknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI kali kelima diadakan bagi membincangkan Garis Panduan Solat Jumaat dalam tempoh PKPB.
Garis panduan itu disediakan bagi penelitian mufti seluruh negara, selaku pihak berkuasa agama negeri dan Ahli Dilantik MKI sebagai panduan bersama sebelum dipertimbangkan dan diputuskan pihak berkuasa agama negeri.
Mesyuarat yang bermula jam 9.30 pagi itu dihadiri semua ahli MKI bersama semua mufti negeri.
Turut hadir mesyuarat khas itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon.

