Saturday, May 18, 2024

Creating liberating content

ESSCom, BIMP-EAGA Kukuh Kerjasama...

KUDAT - Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Kawasan...

Suriani Ahmad Dilantik Ketua...

PUTRAJAYA - Datuk Suriani Ahmad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga...

Projek Kumbahan Pulau Redang...

SETIU - Projek kumbahan dengan kos RM67.2 juta bagi memulihara kebersihan Pulau Redang,...

5,000 Hadiri Rumah Terbuka...

KOTA KINABALU - Hampir 5,000 tetamu menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua...

Mesej Tular Ustaz Kazim Elias Sakit Tak Benar

PENCERAMAH bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim menafikan dakwaan beliau terkena serangan jantung seperti mesej tular di media sosial sejak semalam.

Sebaliknya, beliau memaklumkan ia adalah status lama di laman sosial Facebooknya yang dimuat naik semula oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Sejak semalam viral mengatakan saya terkena serangan jantung dan dimasukkan ke hospital… perkara itu tidak benar.

“Itu adalah cerita lama pada 2016 ketika saya dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung, tetapi sekarang ini seperti yang semua lihat. Alhamdulillah saya berada dalam keadaan sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Pusat Pendidikan Al Barakah, Manjoi, Ipoh, hari ini.

Mohd Kazim berkata, pihaknya menerima ribuan mesej pesanan ringkas (SMS) dan panggilan daripada orang ramai bertanyakan mengenai perkara itu.

Katanya, beliau mendapat makluman berhubung mesej tular terbabit pada 9 malam semalam sebaik selesai sesi ceramah di Sibu, Sarawak.

“Terima kasih kerana viral (tular) ini, ramai pula yang mendoakan saya sihat. Alhamdulillah, saya juga meminta maaf sekiranya perkara ini (tular) menjadikan banyak orang yang tidak selesa, berasa susah hati dan sebagainya,” katanya.

Katanya, program pengajian di pusat pendidikan itu berjalan seperti biasa dan beliau perlu memenuhi undangan ceramah seperti sudah dijadualkan sebelum ini.


“Saya baru pulang dari Sibu dan saya hendak ke Pahang pula meneruskan jadual ceramah saya.

“Kesemua tempat ceramah dan penganjur yang mengundang saya tidak perlu risau kerana setakat ini saya diberi kesihatan oleh Allah,” katanya.

Mohd Kazim turut mengulas kemungkinan pihak tertentu yang berniat tidak baik dan cuba melakukan khianat untuk menjatuhkannya termasuk Al-Barakah sejak dahulu lagi.

“Saya memandang daripada sudut positif kerana setiap seseorang itu akan diuji dan Allah SWT menguji dalam pelbagai bentuk, mungkin hendak menghapuskan dosa, menaikkan darjat atau memberi sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Katanya, beliau berharap agar pihak yang suka ‘menangguk di air keruh’ ini berhenti daripada membuat kerja yang menyusahkan semua pihak.

“Ia memberi pelbagai kesan kerana sehingga ada yang menghubungi saya mengatakan hendak datang ke Ipoh berjumpa saya.

“Jadi, saya menasihati janganlah kita mencipta satu viral (tular) dan mengeksploitasikan satu berita sehingga menyusahkan orang,” katanya. – myMetro Online

Kategori