KUALA LUMPUR – Lebih 500 hadir pada majlis solat hajat di Masjid Wilayah di sini, memohon kesejahteraan dan kestabilan kepada politik negara.
Majlis bermula jam 9.35 pagi itu, dihadiri ramai pemimpin politik negara.
Beberapa Ahli Parlimen daripada UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat hadir antaranya Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut hadir Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar.
Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Nawi; Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuki Shaary; Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr. Muhd Nik Zawawi Salleh dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh juga hadir.
Sementara itu, Tuan Ibrahim dalam ucapan ringkasnya mengharapkan proses pelantikan Perdana Menteri kelapan hari ini berjalan lancar.
“Kita harap perubahan ini membawa kepada keadaan yang lebih. Hari ini juga solat hajat dibuat di seluruh negara memohon kesejahteraan kepada negara,” katanya selepas majlis itu. – BH Online

