• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Sunday, May 18, 2025
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

PRK Kimanis: Tak Ubah Status Quo, Medan Lonjak Moral Parti

oleh
06/01/2020
dalam Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

KIMANIS – Kemenangan mana-mana calon bagi merebut kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 18 Januari ini, tidak mungkin mengubah status quo di Dewan Rakyat, namun kejayaan diperoleh akan menjadi lonjakan moral kepada parti berkenaan di persada politik nasional.

Pensyarah kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Penganalisis Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ramli Dollah, berkata PRK Kimanis mampu memberi kesan signifikan dari segi psikologi kerana ia berupaya meningkatkan moral setiap parti bertanding, terutama jika berdepan kemungkinan PRK lain mahupun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau berkata, PRK Kimanis juga akan menjadi kayu pengukur sejauh mana sokongan rakyat terhadap Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan rakan sekutunya, Pakatan Harapan (PH) yang kini, masing-masing menerajui pentadbiran negeri Sabah dan Malaysia sejak PRU14 pada Mei 2018.

“Biasanya, kemenangan akan membawa kesan domino kepada pilihan raya lain, terutama dalam kalangan pengundi atas pagar. Kemenangan satu parti akan mengubah persepsi terhadap mereka.

“Walaupun kemenangan pada PRK Kimanis tidak menukar status quo (di Parlimen), ia penting kepada psikologi parti dan pengundi. Lebih-lebih lagi dalam usaha menuju PRU15 kerana ia juga mampu memberi keyakinan kepada pengundi (terhadap parti) terutama pengundi atas pagar,” katanya.

PRK Parlimen Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan Barisan Nasional (BN).

Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang, 67, manakala BN diwakili Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Kimanis pada 18 Januari ini, manakala hari pengundian awal pada 14 Januari.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) – Bongawan dan Membakut.

Mengenai calon, Ramli berkata, Karim mempunyai kelebihan untuk memenangi PRK ini, lebih-lebih lagi beliau adalah calon tempatan, selain pernah menjadi wakil rakyat Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013.

Ramli berkata, kekuatan Karim turut didukung oleh partinya, WARISAN yang mentadbir kerajaan Sabah, selain mendapat sokongan daripada PH.

“Sebagai parti pemerintah sama ada di peringkat negeri dan nasional, ini kekuatan kepada calon bertanding. Calon parti pemerintah mampu memberi beberapa perkara yang tidak dapat diberikan oleh parti pembangkang,” katanya.

Bagaimanapun, Ramli menegaskan wujud cabaran besar kepada Karim terutama berdepan dengan beberapa isu berbangkit membabitkan kerajaan ketika ini, terutama isu berkaitan janji di peringkat negeri dan nasional.

Isu itu akan menjadi tentangan hebat buat Karim, selain menguji keupayaannya menangkis segala serangan daripada pihak pembangkang secara profesional dan ilmiah.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Sivamurugan Pandian, berkata, senario politik Sabah adalah unik dan berbeza daripada situasi di Semenanjung.

Justeru, beliau berkata BN tidak boleh menggunakan faktor kemenangan dalam PRK Tanjung Piai pada November lalu, sebagai indikator bahawa sentimen pengundi yang sama akan dilihat pada PRK Kimanis.

“Di sini (Kimanis) masyarakatnya berbeza. Isunya juga berbeza seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), isu royalti minyak di samping isu kos sara hidup dan isu kenegerian amat penting untuk dilihat oleh BN dan Warisan,” katanya.

Mengulas signifikan PRK Kimanis kepada WARISAN dan rakan sekutunya PH, Sivamurugan berkata, PRK ini sangat penting buat mereka terutamanya dalam memberi motivasi dan keyakinan dalam memasuki tahun baru 2020.

“PRK ini juga penting kerana ia bakal menguji kepimpinan Presiden WARISAN yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal setelah hampir dua tahun memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

“WARISAN mempunyai beberapa wakil parti itu di peringkat pusat, dan ini semestinya memberi kelebihan dari sudut jentera serta logistik. Shafie juga semestinya akan menggunakan sepenuhnya jentera parti kerana calon datang dari WARISAN,” katanya.

Sivamurugan berkata, selain perlu menangani sesuatu isu dengan berkesan, faktor calon dan keberkesanan jentera parti bakal menjadi penentu kemenangan kepada mana-mana parti yang bertanding pada PRK itu.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket BN bagi kerusi itu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lalu memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis merangkumi 29,664 pengundi yang terdiri daripada 29,654 pengundi biasa, sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Tags: Barisan NasionalDewan RakyatPRK KimanisPRU15warisan
Share196Tweet123SendShare
Previous Post

Soalan Peperiksaan Guna Nama Zakir Naik Tak Salah

Next Post

Peniaga Uptown Danau Kota Buat Laporan Polis

Related Posts

Sidang Khas Dewan Rakyat 5 Mei Diadakan Atas Permintaan PM – Parlimen

Sidang Khas Dewan Rakyat 5 Mei Diadakan Atas Permintaan PM – Parlimen

24/04/2025
2

KUALA LUMPUR: Sidang khas Dewan Rakyat pada 5 Mei ini bagi membincangkan kesan tindakan Amerika Syarikat (AS) ke atas ekonomi...

Laporan RCI Batu Puteh Dibentang Di Dewan Rakyat Minggu Depan – Johari

Laporan RCI Batu Puteh Dibentang Di Dewan Rakyat Minggu Depan – Johari

06/12/2024
0

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian...

Next Post

Peniaga Uptown Danau Kota Buat Laporan Polis

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd