Saturday, April 27, 2024

Creating liberating content

71 Murid SK Tasek...

ALOR SETAR - Seramai 71 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Apong di...

Aktor Hollywood Nafikan Lakukan...

LOS ANGELES - Aktor terkenal Michael Douglas didakwa melakukan gangguan seksual ke atas...

AirAsia Tawar 3 Juta...

KUALA LUMPUR - AirAsia menawarkan sehingga tiga juta tempat duduk promosi dalam kempen...

Alif Satar Tekad Tampil...

LANGKAWI – Selepas mencipta nama dalam dunia pengacaraan, nyanyian dan lakonan, Alif Satar...

Afidavit Hakim: Siasatan Dalaman Badan Kehakiman Digantung

PUTRAJAYA – Siasatan dalaman oleh badan kehakiman berhubung akuan afidavit Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer yang mengandungi dakwaan campur tangan badan kehakiman, digantung kerana siasatan polis, kata Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Bagaimanapun, Tengku Maimun berkata beliau tidak tahu perkembangan siasatan polis dan sama ada mereka sudah mengemukakan laporan atau kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Ia (siasatan dalaman) digantung kerana polis jalankan siasatan. Pihak polis datang dan menemu bual kami (hakim).

“Keputusan yang diambil pihak pengurusan atasan semasa itu (semasa tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum) adalah untuk menangguhkan dulu siasatan dalaman kerana polis sedang menjalankan siasatan,” katanya kepada media apabila ditanya berhubung siasatan dalaman oleh badan itu.

Ketua Hakim Negara berkata demikian pada sesi bertemu media di pejabatnya di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Maimun berkata anak mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo telah menulis kepadanya berhubung perkara itu.

“Saya beritahu beliau saya tidak boleh jalankan siasatan atau teruskan siasatan yang dimulakan Tan Sri Richard Malanjum kerana konflik kepentingan memandangkan saya seorang daripada tiga hakim dalam panel yang mendengar kes rayuan hasutan Karpal (di Mahkamah Rayuan).

“Saya sendiri beritahu Sangeet bahawa aduan itu berkaitan dengan kes bapanya, jadi saya tidak boleh terbabit dalam siasatan berkaitan perkara itu, dia faham,” katanya.

Pada 12 Julai 2019, Sangeet memberitahu media beliau membuat permohonan rasmi kepada Tengku Maimun, yang menggantikan Malanjum sebagai ketua hakim negara yang baharu, untuk menyiasat semula perkara itu.

Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula yang difailkan Sangeet berhubung dakwaan campur tangan badan kehakiman dalam keputusan kes hasutan bapanya.

Pada 14 Februari 2019, Hamid Sultan memfailkan afidavit mengandungi 63 halaman untuk menyokong saman pemula yang difailkan Sangeet.

Dalam saman pemula, Sangeet memohon antara lain suatu deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara telah gagal melaksanakan tugasnya sebagai ketua badan kehakiman untuk mempertahankan integriti dan kredibiliti badan itu apabila gagal melengkapkan siasatan berkaitan dua dakwaan campur tangan badan kehakiman.


Dakwaan pertama mengenai keputusan rayuan kes hasutan mendiang bapanya, Karpal Singh dan dakwaan kedua, dalam kes penukaran agama Islam membabitkan anak guru tadika M Indira Gandhi.

Pada 30 Mei 2016, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 mengekalkan sabitan kesalahan menghasut Karpal yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Februari 2014 berhubung kenyataan yang dibuat perayu pada 2009 mengenai tindakan Sultan Perak menyingkirkan menteri besar ketika itu.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohtarudin Baki. Hakim Datuk Kamardin Hashim sependapat dengan Mohtarudin tetapi Hakim Tengku Maimun menentang.

Pada 28 Mac 2019, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya ketika itu, Tan Sri Zaharah Ibrahim, membebaskan Karpal daripada pertuduhan hasutan, memutuskan ada salah arah dalam undang-undang yang serius oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan kerana kedua-dua mahkamah gagal untuk menilai pembelaannya.

Karpal, seorang peguam dan ahli politik terkemuka, meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, Perak pada awal pagi 17 April 2014.

Sangeet seorang peguam, mempunyai firma guaman sendiri.

Berhubung isu lain, Tengku Maimun juga menggesa orang ramai membuat aduan melalui saluran yang betul jika mereka mengetahui tentang salah laku kehakiman.

Beliau berkata ini adalah untuk mengelakkan badan kehakiman daripada tercemar.

“Ini kerana apabila anda memberitahu seluruh dunia, ia bukan hanya mencemarkan badan kehakiman, ia juga akan mencemarkan negara,” kata Ketua Hakim Negara.

Kategori