KUALA LUMPUR – Syarikat pemborong dan peruncit, Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) tidak layak membayar zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana mengalami kerugian besar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Penjelasan itu dimaklumkan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin sebagai berkata syarikat yang menguruskan pasar raya runcit itu telah mengalami kerugian bernilai ratusan juta ringgit sekali gus tidak layak membayar zakat.
Walau bagaimanapun, Ameer Ali memberitahu ahli lembaga pengarah Mydin tetap menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan membayar zakat pendapatan setiap tahun.
“Merujuk kepada Zakat Selangor, syarikat yang mengalami kerugian tidak perlu membazar zakat. Dan sebenarnya Mydin telah mengalami kerugian bernilai ratusan juta ringgit dalam tempoh beberapa tahun ini.
“Bagaimanapun, ahli Lembaga Pengarah Mydin tetap melaksanakan kewajipan membayar zakat pendapatan melebihi RM1 juta setiap tahun di Terengganu,” katanya seperti dipetik portal Free Malaysia Today, hari ini.
Perkara itu sekali gus menepis dakwaan yang tular dalam aplikasi WhatsApp bahawa syarikat berkenaan kononnya tidak membayar zakat kerana menyalurkan khums kepada golongan Syiah.
Sebelum ini, satu perbualan kononnya gesaan Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid supaya orang ramai memboikot Mydin kerana dikaitkan dengan sokongan terhadap golongan Syiah tular dalam aplikasi WhatsApp.
“Makluman, Mydin itu syarikat Syiah, dia tidak mahu bayar zakat pada LZS. Dia bayar khums kepada kumpulan Syiah.
“Satu ketika dia dapat geran bekal baju sekolah agama dari LZS, pun tetap tak bayar zakat. Oleh itu Mydin pun patut diboikot juga,” kata pesanan tersebut.
Khums merupakan salah satu bentuk cukai harta dalam Islam, yang antara lain diagihkan kepada golongan fakir miskin dan anak yatim. – UTUSAN ONLINE