KUALA LUMPUR – Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mempersoalkan penahanan remannya berkaitan kes video intim yang didakwa melibatkan seorang menteri kabinet.
Menurut Farhash, polis sepatutnya mengambil keterangannya sahaja dan bukan menangkapnya seperti seorang pembunuh.
“Lagipun, tiada laporan polis dibuat terhadap saya jadi mengapa saya ditahan dan cuba mengenakan hukuman paling tinggi.
“Malah, ketika ditahan, ada polis yang hairan mengapa saya ditahan dan bukannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya ketika ditemui selepas dibebaskan di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini petang tadi.
Farhash Wafa dibebaskan kira-kira pukul 3.45 petang tadi manakala bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dibebaskan kira-kira pukul 3.58 petang.
Jelasnya, dia juga percaya terdapat konspirasi politik untuk menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jika Ketua Polis Negara ada kredibiliti, beliau perlu menahan Azmin untuk disoal siasat.

Sementara itu, peguam kepada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, Kenzin Goik berkata, polis bertindak secara profesional dalam siasatan ini.
“Kita juga sedia untuk memberi kerjasama kepada polis jika diperlukan selepas ini,” katanya.
Minggu lalu, media melaporkan Haziq bersama lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (terlibat dengan seks luar tabii), Seksyen 292 Kanun Keseksaan (memiliki bahan lucah) dan Seksyen 323 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (menyebarkan video lucah) sebelum lima individu tersebut dibebaskan tiga hari kemudian.
Keesokan harinya, tiga lagi individu termasuk seorang setiausaha politik berusia 29 hingga 37 tahun ditahan di sekitar Johor Bahru kira-kira pukul 2.30 petang. Seorang daripada mereka dibebaskan selepas diambil keterangan.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan dua lagi individu ditahan di sebuah hotel di Glenmarie, Shah Alam dan Taman Sri Andalas, Klang bagaimanapun individu yang ditahan di Klang dibebaskan selepas keterangan diambil. – UTUSAN ONLINE