SEREMBAN – Lima individu dipercayai penyokong parti politik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini, atas pertuduhan menghalang tugas polis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, April lalu.
Tertuduh, S Vigane Swaran, 52 ; S R Mangaswaran, 37; M Sega Sivakumar, 37; diwakili Haresh Mahadevan dan Farzana Shahudin, S M Arun, 25 dan A Yeohvan Louis, 25, diwakili V K Indran membuat pengakuan itu di hadapan Majistret V Vanita selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, mereka dengan sengaja menghalang tugas Sarjan Yusof Md Medak daripada menjalankan tugas dengan membuat pemeriksaan pada bahagian bonet kenderaan polis MPV.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua, Rantau di Seremban, pada 13 April lalu, kira-kira jam 6 petang.
Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum dua tahun atau dengan denda yang boleh sampai RM10,000 atau dengan kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pilihan, di lokasi, tarikh dan waktu sama, tertuduh telah menghalang tugas Sarjan Yusof Md Medak dari menjalankan tugasan eskot peti undi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, sabit kesalahan penjara boleh sampai sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau dengan kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 31 Julai ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad.