KUALA LUMPUR – Malaysia mudah melepasi aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 selepas sekali lagi membelasah Timor Leste 5-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.
Kemenangan besar itu menyaksikan Harimau Malaya layak ke pusingan kedua dengan agregat 12-2 selepas membenam cabaran anak buat Norio Tsukitate 7-1 pada aksi pertama di venue sama Jumaat lalu.
Penyerang Perak, Shahrel Fikri muncul wira apabila meledak hatrik menerusi gol seawal minit ke-10 dan gol kedua tujuh minit kemudian sebelum melengkap malam gemilangnya pada separuh masa kedua pada minit 64.
Dua gol lagi disumbang oleh pemain naturalisasi, Mohamed Sumareh pada minit ke-37 dan bintang muda, Akhyar Rashid pada minit ke-55 bagi menceriakan lebih 13,000 penonton yang hadir.
Selepas ini, anak buah Tan Cheng Hoe menyertai 40 pasukan ranking teratas di Asia pada pusingan kedua termasuk penyandang juara Piala Asia, Qatar, selaku tuan rumah Piala Dunia 2022.
Pada pusingan kedua, yang dijadual September ini, semua pasukan akan dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan juara kumpulan dan empat pasukan kedua terbaik akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan slot automatik ke Piala Asia 2023.