PETALING JAYA – Alliance DBS Research dalam nota kajiannya telah menurunkan bon kerajaan kepada neutral walaupun Malaysia berada di kedudukan ketiga prestasi terbaik di pasaran baharu muncul Asia.
Memetik laporan The Star, Alliance DBS Research menyifatkan penurunan nilai penarafan tersebut akan menambah risiko dan meningkatkan penilaian bon Kerajaan Malaysia.
Selain itu, firma penyelidikan tersebut turut menjangkakan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berdepan ‘skop terhad’ untuk mencatatkan lebih banyak keuntungan modal berikutan cadangan ganjaran risiko yang disediakan agensi itu kurang menarik berbanding ketika permulaan 2019.
“Pretasi MGS selama 10 tahun telah menjadi ketiga terbaik dalam pasaran baharu muncul Asia di belakang bon kerajaan Filipina dan Indonesia. Bagaimanapun, situasi kebelakangan ini telah mendorong kita untuk menilai semula kajian yang telah dilakukan.
“Antara risiko utama dan ketidakpastian yang menyelubungi MGS adalah tinjauan FTSE Russel pada September lalu selain keputusan Norway mengurangkan AS$1 trilion dana kekayaan daripada bon Malaysia,” jelas firma penyelidikan itu dalam kenyataan Selasa lalu.
Mengulas lanjut, Alliance DBS Research memaklumkan FTSE Russel pada 15 April lalu telah mengumumkan Malaysia ditempatkan pada senarai pemerhatian pendapatan tetap selama enam bulan sehingga September ini selepas menyempurnakan semakan klasifikasi pendapatan tetap negara.
Tambah firma penyelidikan itu, Malaysia yang ketika ini ditetapkan sebagai ‘2’ dan termasuk dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) sejak 2004 sedang dipertimbangkan untuk diturunkan potensi kepada ‘1’.
“Melihat kepada penurunan harga itu, ia akan menyebabkan Malaysia tidak layak untuk dimasukkan ke dalam WGBI dan penganalisis mengharapkan peningkatan modal ketara dalam pasaran bon tempatan.
“Bagaimanapun, kita percaya Malaysia mungkin akan mengekalkan indeks mereka selepas semakan selesai dilakukan September ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE