KAMPAR – Polis mengesahkan beberapa serpihan tulang yang ditemui di sekitar Gua Kandu Sabtu lalu merupakan tulang milik manusia.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, perkara tersebut disahkan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh melalui proses bedah siasat yang dilakukan terhadap tulang berkenaan.
Bagaimanapun katanya, polis masih belum dapat memastikan penemuan tulang tersebut boleh dikaitkan dengan kejadian kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu.
“Beberapa serpihan tulang termasuk satu tulang peha itu ditemui sepasukan orang awam yang mencari mangsa sebelum mereka memaklumkannya kepada pihak polis.
“Berdasarkan keadaan tulang itu, kita menganggarkan ia merupakan tulang yang agak lama. Bagaimanapun, kita tetap melakukan ujian lanjut di Jabatan Forensik HRBP semalam dan hasil bedah siasat mendapati ia merupakan tulang manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini sebentar tadi.
Tambah Hasron Nazri, serpihan tulang tersebut kemudiannya telah dibawa ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor hari ini untuk mengenal pasti pemilik tulang tersebut.
“Selain serpihan tulang, spesimen darah ahli keluarga mangsa turut dihantar ke tempat sama bagi membuat padanan asid deoksiribonukleik (DNA).
“Keputusan padanan tersebut hanya dapat diperolehi dalam tempoh sebulan hingga dua bulan akan datang dan kita akan mohon supaya keputusannya dapat diketahui dengan cepat,” katanya.
Katanya, hanya penemuan serpihan tulang tersebut ditemui di kawasan Gua Kandu yang terletak berhampiran dengan trek laluan perlumbaan manakala tulang-tulang lain seperti tengkorak tidak dijumpai walaupun pencarian di sekitarnya dilakukan.
“Operasi mencari dan menyelamat juga masih diteruskan oleh penduduk kampung setempat dalam skala yang kecil dan kita menasihatkan orang ramai yang mahu mencari mangsa agar melaporkan kepada pihak polis terlebih dahulu atas faktor keselamatan,” katanya.
Pada kejadian 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf disedari hilang selepas dia tidak muncul di garisan penamat walaupun dia merupakan antara sepuluh peserta yang sedang mendahului perlumbaan bagi kategori 25 kilometer.