JIKA anda seorang pekerja asing, anda akan mendapat layanan yang lebih baik di Thailand berbanding di Malaysia, menurut aktivis hak asasi buruh British, Andy Hall.
Hall, yang berpangkalan di Thailand selama 12 tahun sehingga 2016, berkata keadaan kerja di negara itu bertambah baik dalam tempoh 5 tahun lalu dan beliau berkata keadaan itu disebabkan oleh tekanan dari kumpulan lobi antarabangsa.
Beliau memberitahu FMT, beliau pernah menyangka Thailand mempunyai rekod hak asasi manusia yang paling teruk dalam kalangan negara yang menerima sejumlah besar pekerja asing. “Tetapi penyelidikan saya menunjukkan pekerja asing di Malaysia lebih teruk,” katanya.
“Mereka bekerja 12 jam sehari tanpa rehat dan sejumlah besar daripada mereka tinggal di dalam bilik sempit dengan tandas yang tidak memuaskan.”
Beliau mendakwa beberapa pekerja terpaksa bekerja sehingga 160 jam tambahan sebulan tanpa dibayar gaji lebih masa.
Beliau juga membincangkan mengenai tindakan bunuh diri dalam kalangan pekerja asing, mengatakan mereka tidak tahan dengan keadaan kerja yang dihadapi.
Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa 2016 mengenai kematian pekerja Nepal di luar negara mendapati Malaysia mempunyai bilangan kematian tertinggi, dengan jumlah yang banyak dikaitkan dengan bunuh diri.
Menurut Hall, antara keadaan menindas yang dihadapi pekerja dari Nepal, Myanmar dan Bangladesh adalah pembayaran rasuah kepada agensi perekrutan di Thailand dan Malaysia.
“Di mana-mana negara pun berlaku kelulusan melalui pembayaran ‘bawah meja’, tetapi bayaran yang dikenakan di Malaysia adalah tidak masuk akal,” katanya.
Menurutnya, rasuah di Malaysia adalah RM20,000 sedangkan di Thailand ia berada dalam purata 1/10 hingga 1/5 daripada jumlah itu.
Menyedari ramai pekerja asing berasal dari latar belakang yang miskin, beliau berkata mereka terpaksa menggadai atau menjual harta mereka atau mengambil pinjaman dengan faedah yang tinggi dari bank untuk membayar rasuah.
Hall berkata kerajaan Malaysia harus menghukum syarikat yang merekrut pekerja yang mengamalkan rasuah dan memperkasakan pekerja asing dengan set hak asasi.
Pekerja mesti sekurang-kurangnya mendapat hak untuk membatalkan kontrak mereka pada kos yang munasabah dan mempunyai akses kepada pasport mereka, katanya. – FMT

