Sedang kecoh di beberapa blog bahawa pihak pengeluar beg jenama Herschel Supply Co. menafikan beg yang digunakan perwakilan PPBM pada perhimpunan tahunan mereka adalah asli dan keluaran syarikat itu.
Syarikat antarabangsa berkenaan dikatakan menjawab e-mel pihak tertentu yang turut menyertakan beberapa keping gambar semasa perhimpunan parti pemerintah tersebut.
Jurucakap syarikat berkenaan memberitahu mereka tidak dapat mengecam rupa beg berkenaan dan memohon gambar tambahan untuk melakukan siasatan lanjut.

Andai terbukti benar, maka PPBM nyata telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 menyatakan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun.
Selain persoalan kesahihan, timbul juga isu lain yakni apakah beg-beg tiruan berkenaan dibeli pihak tertentu dalam PPBM pada nilai tiruan tetapi dibekalkan kembali pada harga asal?
Jika ini berlaku, mungkin ada pihak yang telah mengaut keuntungan yang luar biasa.
Disebabkan isu ini telah viral, langkah terbaik adalah untuk pihak PPBM sendiri melakukan siasatan dan menjelaskan perkara sebenar.
Pihak KPDNKK rasanya perlu tampil dan menyiasat isu ini secara telus dan adil segera. – Mynewshub

