TERUNGKAI… Misteri siapakah enam individu disenarai pendek sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akhirnya terbongkar!
Bekas ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz hari ini umum beliau sedia beri laluan kepada rakan-rakan dalam institusi kepimpinan UMNO untuk diletakkan dan dipilih sebagai calon BN yang akan mewakili parti itu nanti.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat berkata, beberapa mesyuarat telah diadakan dan nama-nama yang disenaraikan itu turut merangkumi calon daripada sayap Wanita, Pemuda dan juga golongan profesional.
“Saya beri laluan kepada muka baharu kerana institusi parti ini ‘panglimanya’ bukannya seorang… ada timbalan, ada naib, ada sayap dan saya berikan laluan,” katanya pada sidang media bersama antara UMNO dan PAS Selangor.
Mengulas lebih lanjut Johan menambah, siri perbincangan dan mesyuarat telah diadakan sebelum ini dalam usaha BN dapat pilih nama-nama terbaik untuk dinilai oleh pimpinan ibu pejabat parti UMNO di ibu negara pula.
“Setelah dibincangkan, ada enam nama yang akan kita angkat kepada pengerusi perhubungan UMNO dan akan dibawa kepada pihak BN pusat untuk dinilai,” kata Johan yang pernah jadi ADUN Semenyih beberapa penggal.
PRK DUN Semenyih bakal diadakan pada 2 Mac ini, dengan hari penamaan calon ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya pada 16 Februari depan, manakala hari pengundian awal pula pada 26 Februari.
Ia PRK keenam pasca Pilihan Raya Umum ke-14 selepas di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari).
Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) masih buntu letak calon mereka dengan PPBM dakwa kerusi DUN Semenyih sebagai milik mereka manakala PKR pula bertegas, ia asalnya untuk calon parti itu. – Agensi/Mynewshub.TV

