JEDDAH – Hujan lebat dan ribut pasir di Arab Saudi menyebabkan bencana banjir, penutupan sekolah dan penglihatan tahap rendah, kata pihak berkuasa semalam sambil menggesa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga semasa cuaca buruk itu berlaku.
Portal media Arab Saudi, Arab News melaporkan hujan melanda di bahagian utara dan barat negara itu kelmarin dan semalam, sementara ribut pasir melanda kawasan utama yang padat dengan penduduk.
Katanya, beberapa sekolah di Tabuk, Arar dan Al-Jawf terpaksa ditutup susulan banjir dan tahap penglihatan yang rendah di Riyadh serta tempat lain.
“Riyadh, Makkah, wilayah sempadan utara, Hail, Tabuk, Qassim, Madinah, wilayah timur, Asir, Jazan dan Al-Jawf sedang mengalami cuaca yang tidak stabil.
“Direktorat Pertahanan Awam meminta penduduk supaya tidak membahayakan diri dan keluarga dengan mengunjungi lembah-lembah dan kawasan merbahaya,” kata jurucakap Pertahanan Awam, Mejar Mohammed Al-Hammadi yang memberitahu Arab News.
Sementara itu, pihak di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, dekat sini menggesa penumpang memeriksa jadual penerbangan yang dijangka mengalami kelewatan atau dibatalkan.
Pihak Berkuasa Umum bagi Meteorologi dan Perlindungan Alam Sekitar meramalkan hujan di bahagian utara dan barat sementara ribut pasir atau angin berdebu di beberapa bahagian di Arab Saudi. – Arab News