ALOR SETAR – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki sedang memasak daun ketum di dapur rumahnya untuk dijadikan air rebusan di Kampung Cemara, Jeniang, Sik, petang ini.
Ketua Polis Daerah Sik, DSP Abdull Razak Osman berkata lelaki berusia 50 tahun yang bekerja sendiri itu ditahan pada kira-kira pukul 1.15 petang, dan siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di dapur itu pihak polis menemui sebuah periuk sederhana besar yang berisi cecair rebusan daun-daun keperangan dan satu beg plastik berisi dua kilogram daun ketum.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya dalam satu kenyataan disini.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Abdull Razak berkata ppolis menahan enam lelaki berusia antara 26 dan 56 tahun kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah serta memproses samsu.
Katanya, mereka ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas yang dijalankan pihaknya dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) antara 9 Dis hingga semalam di beberapa lokasi di daerah Sik. – BERNAMA

