KOTA TINGGI – Seorang pekerja ladang menemui ajal selepas diserang dan dipijak gajah liar semasa bertugas di Ladang Felcra Dusun Panti Batu 18, Jalan Johor Mersing di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.40 petang itu, mangsa, Muhammad Ridwan Mohd. Yasin, 26, yang cedera parah akibat serangan itu disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, semasa kejadian, mangsa sedang melakukan tugas rondaan dan menghidupkan pelita di kawasan ladang tersebut.
“Tiba-tiba seekor gajah liar terus menyerang dan memijak mangsa. Ekoran serangan itu, mangsa mengalami cedera parah dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nik Azaham berkata, mangsa turut mengalami pendarahan yang banyak di bahagian peha akibat terkena tusukan gading gajah. – K! ONLINE