SEREMBAN – UMNO hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga pegawai bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia malam tadi dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan yang telus pada kadar segera.
Timbalan Presiden parti Datuk Seri Mohammad Hasan berkata pihak yang terlibat harus dibawa ke muka pengadilan dan dihukum dengan sewajarnya.
“UMNO dan saya secara peribadi mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga semuanya diberikan kekuatan dan kesabaran dalam berhadapan dengan waktu yang sukar ini.
“Terima kasih diucapkan kepada pasukan perubatan dan seluruh kakitangan Institut Jantung Negara (IJN) serta semua pihak yang telah berikhtiar dan membantu selama ini. Sesungguhnya, pengorbanan anggota keselamatan negara semasa menjalankan tugas kepada negara adalah satu sumbangan besar yang tidak ada nilai dan taranya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Muhammad Adib, 24, cedera parah dipercayai dipukul oleh perusuh dalam kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lalu ketika bertugas memadamkan kebakaran di hadapan premis berkenaan.
Allahyarham meninggal dunia pada 9.41 malam di IJN dan susulan itu Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab dilaporkan berkata kes tersebut diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh. – BERNAMA