PARIT BUNTAR – Cawangan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Daerah Kerian merampas 344 unit bubu naga dalam satu operasi di perairan kawasan Trong dekat Kuala Sepetang semalam.
Ketua Pangkalan cawangan itu Razali Mat Akit berkata rampasan pada pukul 3 petang itu dilakukan sepasukan 10 anggota cawangan berkenaan dari Kuala Kedah dan Kuala Kurau dengan menggunakan dua bot risik.
Beliau berkata pihaknya mengadakan operasi itu berikutan aduan nelayan di kawasan berkenaan mengenai kegiatan bubu naga yang mengancam sumber perikanan nelayan pantai.
“Bubu naga berangkai sepanjang 15 hingga 20 unit setiap satu diharamkan operasi kerana ia tidak dilesenkan Jabatan Perikanan.
“Semasa operasi kita menemukan bubu naga itu dipasang pada pancang kayu dan menggunakan pelampung dan kes itu disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana kesalahan beroperasi tanpa lesen dan boleh didenda RM500,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Razali berkata siasatan mendapati setiap satu bubu naga dijual dengan harga antara RM60 hingga RM70 setiap unit.
Menurutnya pemilik bubu naga diberi tempoh satu bulan untuk menuntut kembali bubu yang dirampas atau ia akan dimusnahkan. – BERNAMA

