SHAH ALAM – Kerana mulut badan binasa. Itulah yang berlaku kepada seorang wanita yang memuat naik komen biadab ketika pengumuman pemergian Muhammad Adib Mohd Kassim di laman sosial Facebook malam tadi.
Salah seorang pengguna Facebook sempat ‘screenshot’ komen itu ketika menyaksikan siaran langsung pengumuman dari Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan menularkannya di media sosial.
Kuasa tular, perbuatan wanita itu mendapat reaksi majikannya.
Honda Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan Muhammad Adib, wira bomba yang baru sahaja meninggal dunia.
Katanya, berkaitan komen yang tular, pihaknya sedia maklum dan telah mengambil tindakan sewajarnya.
Surat rasmi penggantungan kerja wanita tersebut juga dimuat naik oleh Honda Malaysia untuk menunjukkan betapa seriusnya mereka dalam menangani isu ini.
Pihaknya juga memohon maaf diatas komen yang tidak sensitif dan menyinggung perasaan rakyat Malaysia. – Sinar Harian