BUTTERWORTH – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengedarkan 50,000 kit barangan keperluan asas sebagai inisiatif untuk membantu mangsa banjir di Terengganu dan negeri-negeri lain yang terlibat.
Pengerusinya Ishak Ismail berkata kit itu mengandungi 23 barangan termasuk makanan seperti beras, sardin, bihun serta barangan keperluan asas lain.
“Kit ini sudah pun diedarkan ke negeri yang terlibat banjir dan langkah ini merupakan tindakan awal FAMA yang sama-sama terlibat dengan agensi lain untuk membantu mangsa banjir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Cabaran Agrobazaar Online peringkat negeri, di sini hari ini.
Beliau berkata program Cabaran Agrobazaar Online itu melibatkan peserta New Breed Marketing Entrepreneur (NBME) dan anggota kelab MyAgrosis yang terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di Pulau Pinang.
NBME adalah inisiatif FAMA dalam memberi peluang kepada graduan lepasan IPT untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan industri asas tani melalui platform aplikasi dalam talian Agrobazaar Online (ABO), katanya.
“Menerusi program ini, FAMA telah menjalin kerjasama dengan lima buah IPT dengan menandatangani ‘cerficate of coorporation’ (COC) bagi melahirkan usahawan baharu di peringkat lepasan IPT serta mengurangkan kebergantungan lepasan graduan terhadap kerjaya makan gaji.
“Antara IPT yang terlibat dengan kerjasama ini termasuklah Politeknik Seberang Perai, Politeknik Metro, UiTM Cawangan Permatang Pauh, Politeknik Balik Pulau dan Kolej Komuniti Bayan Baru yang merupakan anggota Kelab MyAgrosis yang dilihat dapat mewujudkan fenomena pewujudan pekerjaan kepada usahawan lepasan graduan,” katanya.
Beliau berkata tahun ini seramai 42,600 orang menyertai kelab MyAgrosis dan FAMA menyasarkan penyertaan melebihi 50,000 anggota menjelang pertengahan tahun depan.
Sementara itu, mengenai bekalan bahan mentah sempena sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2019, Ishak berkata FAMA memberi jaminan bekalan mencukupi dan orang ramai tidak perlu bimbang.
“Bahan mentah seperti sayuran dan sebagainya, kita tidak berada di tahap kritikal kerana bekalan adalah mencukupi. Cuma kalau keperluan daging, kita banyak bergantung kepada yang import, jadi tidak perlu bimbang,” katanya. – BERNAMA

