KUANTAN – Malang buat seorang peniaga apabila wangnya hangus akibat ditipu dalam urusan jual beli lori tiga tan yang berlanjutan selama hampir setahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 25 tahun itu juga menyedari dia sebenarnya telah membuat bayaran melebihi harga yang dipersetujui.
Katanya, mangsa yang berasal dari Sungai Koyan, Raub mendakwa lori jenis Isuzu itu diiklankan pada harga RM42,000 semasa dia membaca iklan tersebut di laman media sosial pada 28 Jun 2017.
“Mangsa telah menghubungi nombor yang tertera di iklan itu dan berurusan dengan seorang wanita sebelum bersetuju membayar pendahuluan sebanyak RM3,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank wanita itu pada 29 Jun 2017.
“Suspek kemudiannya menghubungi mangsa pada keesokan harinya bagi meminta bayaran tambahan RM5,300 dan mangsa diminta untuk terus membuat bayaran atas pelbagai alasan termasuk proses menukar nama hak milik,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir menambah sehingga 6 April lalu, mangsa telah membuat 24 transaksi pembayaran kepada suspek, yang keseluruhannya berjumlah RM44,340.
Bagaimanapun, setakat hari ini, mangsa tidak pernah menerima lori tersebut dan mendapati suspek telah menukar nombor telefonnya.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis dekat sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

