SERDANG – Suspek kes langgar lari di Taman Equine, Seri Kembangan, di sini, semalam, ditahan polis pada jam 1.43 pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8.08 malam itu, seorang wanita maut, manakala empat lagi parah selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika sedang makan di sebuah restoran di Taman Equine, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata pihaknya menahan lelaki berusia lingkungan 20-an yang berasal dari Sarawak selepas suspek diserah oleh majikan susulan semakan pemilik kenderaan berkenaan.

“Hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif dadah. Bagaimanapun, darah suspek diambil bagi ujian alkohol.
“Reman terhadap suspek akan dilakukan pagi ini di Mahkamah Petaling Jaya jam 10 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Sebelum itu, kenderaan dipandu suspek ditemui ditinggalkan di Jalan Indah 1/22, Taman Universiti Indah, Seri Kembangan, di sini, kira-kira jam 11 malam tadi. – BH ONLINE

