PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyambut baik pengumuman dalam Belanjawan 2019 mengenai Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperkembangkan infrastruktur jalur lebar negara.
SKMM dalam kenyataan hari ini, berkata NFCP itu bukan sahaja memastikan rakyat berpeluang menikmati pelbagai perkhidmatan melalui capaian infrastruktur berkualiti tinggi pada harga berpatutan tetapi juga menyokong perkembangan ekonomi digital dan Revolusi Industri 4.0.
“Sehubungan itu, SKMM akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk merangka inisiatif-inisiatif sesuai serta menggalakkan persaingan dalam sektor ini bagi mempercepatkan penyediaan infrastruktur tersebut,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut NFCP akan memberi tumpuan kepada perkembangan rangkaian gentian optik sedia ada, pemasangan sistem gentian optik dasar laut serta pelaksanaan pembinaan rangkaian gigabit di beberapa kawasan ibu negeri dan kawasan industri terpilih termasuk Sabah dan Sarawak bermula 2019.
Jelas SKMM, bagi memastikan liputan jalur lebar tanpa wayar berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar dan terpencil, suruhanjaya itu juga akan memastikan pengagihan spektrum yang berkaitan dilaksanakan dengan cara lebih efektif. – BERNAMA

