ALOR SETAR – Polis menahan seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun yang disyaki menyamun serta mencabul seorang wanita di Kawasan Peranginan Junjong di sini pada 29 Okt lepas.
Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ahmad Nasir Jaafar berkata suspek yang menyamar sebagai pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika melakukan samun itu ditahan pada 5.45 petang semalam di Seberang Perai, Pulau Pinang.
“Dalam kejadian 10.40 pagi di Kulim, suspek memperkenalkan diri sebagai pekerja JKR kepada seorang wanita berumur 30-an yang sedang menunggu bas di Kunci Rimbun dekat sini, sebelum mempelawa mangsa menumpang keretanya yang kononnya mahu menuju ke destinasi sama.
“Mangsa kemudiannya meminta suspek berhenti di hadapan sebuah farmasi tetapi suspek meneruskan perjalanan sehingga ke kawasan peranginan itu dan bertindak mengacukan pisau ke leher mangsa manakala pemutar skru diletakkan di pinggang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek mengambil beg tangan bersama wang tunai RM150, seutas rantai tangan emas serta telefon bimbit selain turut mencabul mangsa sebelum menghantar wanita itu ke Pekan Junjong di sini, dan melarikan diri.
Ahmad Nasir berkata susulan kejadian tersebut pihaknya bertindak mengesan suspek sebelum pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Pulau Pinang berjaya menahannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
Katanya siasatan awal mendapati lelaki warga emas yang turut menyamar sebagai pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu aktif melakukan kegiatan samun di sekitar daerah Kulim serta Pulau Pinang dan memiliki tujuh rekod jenayah lampau serta satu kes orang dikehendaki. – BERNAMA