KUALA BERANG – Penduduk di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong, Ajil, di sini mula membuat persiapan banjir dengan memindahkan barang berharga ke dalam stor khas yang dibina bersebelahan rumah masing-masing.
Ia sebagai langkah berjaga-jaga berikutan ribut dan hujan yang tidak menentu sejak minggu lepas dan berlarutan sehingga ke hari ini disebabkan kedatangan monsun timur laut.
Seorang penduduk, Khairul Anuar Abd Halim, 53, berkata beliau mula mengemas barang-barang seperti pakaian, perkakasan elektrik dan dokumen berharga sejak dua hari lepas untuk dipindahkan ke stor khas yang diperbuat daripada zink dan dibina lebih tinggi bagi mengelakkan dimasuki air.
“Stor ini dibina selepas kejadian banjir teruk pada 2014 yang menyebabkan kami semua tinggal sehelai sepinggang dan terputus hubungan hampir dua minggu dengan dunia luar.
“Ia disumbangkan oleh Felcra dengan kos sekitar RM1,500 setiap satu dan dibina lebih tinggi melepasi paras kepala bagi mengelak ditenggelami air,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkenaan, Mohd Rosmaini Abd Samad, 37, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sudah menghantar barangan keperluan seperti makanan asas, susu bayi, lampin pakai buang dan tilam untuk kegunaan kecemasan ketika banjir.
Beliau berkata penempatan yang dihuni oleh 63 keluarga generasi kedua Felcra, adalah antara kawasan terawal di daerah Hulu Terengganu yang akan dinaiki air jika hujan lebat berterusan.
“Kawasan ini memang dinaiki air setiap tahun. Oleh itu, JKM akan menyalurkan stok makanan dan keperluan lain lebih awal yang biasanya untuk kegunaan tiga hari bagi memastikan kami tidak menghadapi sebarang kesulitan jika berlaku bencana.
“Semua barang keperluan disimpan dalam stor surau berhampiran dan akan dipindahkan ke dewan orang ramai yang dijadikan pusat pemindahan sekiranya berlaku banjir,” katanya.
Mohd Rosmaini berkata, dalam tempoh ini semua penduduk sudah tidak boleh tidur lena dan sentiasa berjaga-jaga serta peka dengan sebarang amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kemungkinan banjir seperti tahun-tahun sebelumnya. – BERNAMA