JOHOR BAHRU – Pelabur asing diyakini terus memilih negara ini untuk pelaburan langsung mereka, sejajar dengan amalan kebertanggungjawapan dan ketelusan tadbir urus yang ditekankan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau gembira dengan keyakinan ditunjukkan pelabur asing terutama dari Jepun dan Singapura yang bersedia mempertimbang untuk meneruskan pelaburan langsung asing (FDI) mereka di negara ini.
“Beberapa bulan lepas, kita telah memulakan pelaksanaan pembaharuan di beberapa institusi utama untuk memastikan prinsip tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawapan menjadi sebahagian tonggak pentadbiran kerajaan baharu ini.
“Jadi, saya melihat ini (sebagai) satu perkembangan yang cukup positif di mana pelabur asing yakin (terhadap) kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membawa satu anjakan penting dalam pentadbiran negara dan menjamin pelaburan mereka selamat serta dapat diuruskan secara telus dan terbuka,” katanya yang ditemui pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Integriti dan Tadbir Urus Negeri Johor 2018 anjuran Johor Corporation (JCorp), di sini.
Ketika ditanya sama ada negara berada di landasan yang betul untuk menarik pelabur khususnya dengan kerajaan lebih menerapkan amalan ketelusan dan bertanggungjawapan berbanding kerajaan terdahulu, Mohamed Azmin berkata kerajaan menghadapi cabaran penting.
“Pastinya cabaran amat penting bagi kerajaan menjalankan langkah proaktif yang berani, yang kita telah laksanakan beberapa bulan lepas, terutama dalam tempoh 100 hari, kita telah memulakan pembaharuan beberapa institusi utama dan memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menangani amalan rasuah dan sogokan di Malaysia.
“Ini akan dapat mengembalikan keyakinan pelabur untuk meletakkan pelaburan mereka di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Azmin berkata kerajaan juga menyemak semula projek mega yang dipersetujui sebelum Mei 2018 supaya prosesnya dibuat secara telus dan terbuka.
“Oleh kerana kekangan kewangan, kita terpaksa menangguhkan atau membatalkan sebahagian projek ini dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Saya berpendapat kita sudah berada di landasan yang betul untuk memastikan Malaysia akan menjadi negara yang lebih kukuh.
“Malah kita juga akan terus meningkatkan hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi dengan negara jiran di samping memperkukuh kerjasama serantau tidak lama lagi,” katanya.
Sidang Kemuncak Integriti dan Tadbir Urus Negeri Johor 2018 yang berlangsung hari ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai pentingnya integriti kepada kemapanan sesebuah organisasi selain mencari input baharu bagi memantapkan lagi tadbir urus.
Persidangan bertemakan ‘Integriti Memacu Kemapanan Organisasi’ itu dianjurkan bersempena Hari Integriti Kebangsaan dan julung kalinya di negeri ini.
Perasmian dilakukan Menteri Besar merangkap Pengerusi JCorp Datuk Osman Sapian dan turut dihadiri Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed. – BERNAMA

