DUNGUN – Mayat suspek kes samun yang terjatuh ke dalam Sungai Paka semasa dikejar anggota polis pada Jumaat lepas ditemui pukul 11.30 pagi ini, namun anggota polis yang turut terjatuh ke dalam sungai ketika mengejarnya masih belum ditemui.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata mayat suspek ditemui pasukan penyelamat kira-kira 300 meter dari lokasi pencarian di Kampung Durian Mentangau dekat Paka di sini.
“Mayat suspek ditemui tersangkut pada ranting kayu di tebing sungai dan telah dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.
“Operasi mencari dan menyelamat hari ini diteruskan lagi untuk mencari mangsa kedua iaitu Konstabel Wan Mohd Arif Wan Yahya, 28,” katanya kepada pemberita di sini.
Kejadian itu berlaku pada pukul 8.30 malam Jumaat lepas, semasa polis mengejar suspek yang terlibat dalam kes samun di Paka awal bulan ini di tebing sungai itu.
Baharudin berkata operasi hari ini dimulakan pukul 7.00 pagi ini melibatkan 73 pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Khidmat dua ekor anjing pengesan Unit K9 JBPM Putrajaya juga digunakan dalam operasi hari ini,” katanya.
Sementara itu, kakak kepada anggota polis itu, Suraya, 32, berkata mereka sekeluarga tidak putus asa berdoa agar Allah memudahkan pencarian Wan Mohd Arif.
“Pagi tadi, saya bawa air yang telah dibacakan doa dan solat hajat untuk dicurahkan ke dalam sungai sebagai usaha (alternatif Islam) mencari adik, namun belum sempat saya membuka penutup botol air penawar itu, tiba-tiba terdengar macam bunyi belon meletup dan mayat seorang lelaki timbul mengejut di depan mata.
“Saya ingatkan mayat itu adik saya kerana bajunya juga berwarna kelabu, rupa-rupanya mayat suspek,” katanya yang pengsan melihat mayat suspek timbul. – BERNAMA

