IPOH – Kerajaan negeri menggunakan pendekatan baharu dalam usaha menyalurkan bantuan sumbangan kepada Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) bagi memastikan semua institusi terlibat mendapat manfaat.
Exco Belia dan Sukan negeri Howard Lee Chuan How berkata menerusi pendekatan baharu itu, separuh daripada bantuan yang diperuntukkan diberikan kepada sekolah yang layak berdasarkan per kapita bilangan murid dan separuh lagi mengikut purata bilik darjah.
Katanya SBK yang layak membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Mubaligh.
“Pendekatan baharu ini akan membahagikan sumbangan itu secara adil dan saksama kepada 261 SJKC, SJKT dan sekolah mubaligh di 12 daerah di Perak,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mewakili Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Abdul Aziz Bari menyampaikan sumbangan cek peruntukan SBK kepada anggota Parlimen negeri Perak serta Anggota Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Lee berkata sumbangan sebanyak RM3 juta yang disampaikan hari ini bagi penggal 2018 akan memberi manfaat kepada 86,666 pelajar dari 5,082 bilik darjah dari semua 261 SJKC, SJKT dan sekolah mubaligh.
Selain itu, Lee berkata kerajaan negeri turut mengambil pendekatan dengan membantu sekolah Kurang Murid (SKM) yang mendapat bantuan dalam jumlah secukupnya.
“Melalui kaedah baharu ini SKM yang mempunyai bilangan murid yang besar tetap dapat bantuan,” katanya.
Tambahnya walaupun pendidikan merupakan bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan namun keprihatinan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan mengambil pendekatan mengubah corak agihan bukan sekadar retorik. – BERNAMA