SELAMA ini generasi muda di Malaysia hanya tahu etnik minoriti India dan Cina dibawa penjajah British sebagai buruh estet getah dan lombong bijih timah milik kolonial sebelum negara merdeka.
Namun, kajian terbaharu pensyarah Universiti Malaya, Dr. Azharudin Mohamed Dali menerusi satu forum awam baru-baru ini pula temui sesuatu agak pelik mengenai sejarah hijrah pendatang India ke Tanah Melayu dahulu.
Segelintir orang India yang dibawa ke Malaya pada era penjajahan Inggeris ujarnya, merupakan kumpulan pesalah undang-undang jenayah termasuk mereka yang dibuang negeri dan tahanan politik kerana tentang pihak kolonial.
Untuk rekod, India pada zaman tersebut merangkumi beberapa wilayah luas yang hari ini dirujuk oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Nepal, Bhutan Mauritius dan Maldives.
Azharudin yang juga penulis buku Sejarah Masyarakat India di Malaysia mengatakan “Negeri Selat merupakan tempat pembuangan tahanan yang disabit melakukan kesalahan di India, sama ada jenayah mahupun politik.”
Demikian penjelasan dikongsikan oleh beliau dalam forum ‘Kependudukan dan Pergerakan Etnik Di Kepulauan Melayu dari Perspektif Arkeologi, Budaya dan Sejarah’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.
Program anjuran Institut Tamadun dan Alam Melayu UKM itu pada mulanya dikecam beberapa organisasi India Hindu tempatan pro-Pakatan Harapan (PH) sehingga terpaksa diubah tajuknya demi elak kontroversi berlarutan.
Menurut Azharudin, kumpulan pendatang dari India itu terpaksa dibuang pihak penjajah di Singapura dan Pulau Pinang sehingga adanya Andaman, sebuah gugusan pulau kecil di Teluk Bengal dekat Myanmar dan Bangladesh.
Pihak kolonial kemudian berjaya bina sebuah penjara khas untuk banduan terbabit di ibu kota pulau itu, Port Blair yang dikenali sebagai Cellular Jail atau Kala Pani selain pusat tahanan di Ross Island yang dibuka pada abad ke-18.
Bagaimanapun, sebelum Andaman, pesalah tersebut dihantar ke dua buah Negeri Selat itu dan amalan pelik ini berterusan sehinggalah dihentikan pada tahun 1890 setelah dapat bantahan daripada golongan peniaga tempatan.
Azharudin juga memetik kenyataan pakar sejarah tempatan, Prof. Khoo Kay Kim bahawa “…ramai orang tawanan bangsa India telah dipindah ke Negeri Selat dan mereka digunakan penjajah untuk membina bangunan dan jalan.”
Negeri Selat meliputi Pulau Pinang, Melaka dan Singapura diwujudkan Inggeris pada 1826 bagi jimat pentadbiran penjajah kerana diurus terus pejabat Koloni di London serta bukan lagi Syarikat Hindia Timur Inggeris di India.
Meskipun demikian, beliau tidak setuju dengan dakwaan yang mengatakan semua India yang datang ke Malaya (kemudian Malaysia pada 1963) ialah golongan berkasta rendah dan dibawa oleh kolonial British semata-semata.
Ini kerana ada juga kumpulan India yang berkasta tinggi dan berpendidikan peringkat universiti datang secara sukarela untuk cari rezeki di Tanah Melayu waktu itu seperti golongan Chettiar, Sikh, Patan, Gujaret dan Sindh.
Justeru Azharudin turut menegaskan bahawa polemik pihak tertentu yang berhujah konon penyelidik bukan bangsa India tidak betah menulis atau menjadi pengkaji sejarah bagi sesuatu etnik di Malaysia adalah amat kurang tepat.
Apatah lagi kajian yang dibuat oleh ahli-ahli sejarah di Malaysia turut diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai rujukan ilmiah ramai penyelidik di luar negara kerana ia adalah berdasarkan kepada fakta dan bukannya retorik.
Malah tambah Azharudin lagi, jika polemik itu dijadikan kayu ukur yang diambil pakai, maka tidak akan wujud Kay Kim sendiri yang banyak menulis mengenai sejarah hebat orang Melayu di Malaysia. – Agensi/Mynewshub.TV

