BUTTERWORTH – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat seorang lelaki ketika berada dalam sel Pusat Tahanan Reman Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini, pada 25 Oktober lalu.
Pengakuan M Nadarajan, 47, itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hakim Norhayati Mohammad Yunus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Nadarajan yang bekerja sebagai buruh ditahan reman bersama mangsa berusia 22 tahun di dalam sel yang sama bagi siasatan kes berkaitan penagihan dadah di pusat berkenaan.
Nadarajan didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.05 tengah malam pada 25 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur seorang lelaki berusia 22 tahun tanpa kerelaan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sel C2, Pusat Tahanan Reman Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamaliza Md Zain, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM15,000 ke atas tertuduh manakala 6 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – BH Online