CERIA… Lelaki kepala botak yang jadi tular kerana aksi geram dalam satu rakaman video susulan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor hari ini tampil membuat penjelasan.
S. Kanagarajah berkata, aksi geram yang ditunjukkan itu bukan sengaja dibuat, sebaliknya ia perasaan sebenar yang ingin diluahkan kerana terlalu kecewa dengan situasi tegang berlaku pada malam pertama rusuhan itu Isnin lalu.
“Saya buat begitu sebab terlalu kecewa dengan keadaan berlaku masa itu. Perasaan saya kalau tanya rasa nak nangis bila lihat apa berlaku. Saya bukan sengaja buat mimik muka (geram), saya kecewa tengok rakan-rakan dipukul.
“Ada yang kena di bahagian kepala sampai keluar darah, kita tidak mahu bergaduh dengan sesiapa, kita hanya mahu sembahyang,” kata Kanagarajah yang juga sukarelawan dan sering menyampaikan bantuan di kuil berkenaan.
Jelas ahli perniagaan tempatan tersebut, dia bagaimanapun tidak mengambil hati dengan tindakan segelintir rakyat Malaysia yang kemudian cuba pula meniru gaya geramnya itu yang tular, sebaliknya melahirkan perasaan gembira.
“Sejak video itu tular, saya tidak terima sebarang ugutan, saya hanya lihat mereka buat lucu dan kalau tengok video itu buat gembira, tiada masalah biarlah gembira,” katanya di perkarangan Mahkamah Tinggi, Shah Alam hari ini.
Kanagarajah turut menafikan tuduhan kononnya rusuhan yang berlaku di kuil tersebut disebabkan pergaduhan kaum sambil tegas mendakwa bahawa kumpulan yang datang menyerang premis itu diupah pihak tertentu.
Baca: Misteri Video Tular ‘Polis’ Kepala Botak Terjawab
“Saya boleh kata 100% bahawa ini bukan masalah perkauman sebab saya lama tinggal di Subang Jaya sejak 35 tahun, dari kecil lagi kawan-kawan saya semuanya Melayu. Mereka (samseng) diupah oleh pihak tertentu.
“Tiada orang hendak buat benda ini percuma. Bukan kita mulakan pertempuran ini, orang itu mula pertempuran ini, mereka duduk dalam aircond (tempat sejuk), sekarang kita dengan kawan Melayu yang jadi mangsa,” katanya.
Kanagarajah turut mendedahkan bahawa pada lewat malam pertama insiden serangan itu meletus, difahamkan lebih 40 penganut Hindu secara kebetulan sedang melakukan upacara sembahyang di kuil berkenaan.
“Mereka muncul bawa senjata yang dahsyat antaranya parang, cangkul, ada dalam 200 orang datang,” katanya sambil menyatakan ucapan terima kasih kepada pihak polis kerana berjaya kawal keadaan buruk itu dengan baik.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan lelaki yang menunjukkan geram dalam satu rakaman video tersebar menerusi media sosial sebagai anggotanya dan didakwa terbabit dalam rusuhan kuil.
Beliau sedia maklum mengenai rakaman dan foto lelaki yang didakwa anggota polis itu, tetapi hasil semakan dapati individu berkenaan ialah bekas Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) yang telah lama ditamatkan perkhidmatannya.
Kanagarajah malah disahkan tiada kaitan dengan rusuhan di kuil tersebut. Video berdurasi sembilan saat itu hanya menunjukkan dia sedang kawal keadaan di kuil sambil menunjukkan perasaan geram. – Agensi/Mynewshub.TV