KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan anak anggota tentera maut selepas terjatuh dari tingkat tiga Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Kem Wardieburn, Setapak di sini petang tadi.
Mangsa yang berusia enam tahun itu dipercayai terjatuh ketika bermain bersama rakan-rakannya di tingkat bangunan itu dan disahkan meninggal dunia ketika berada di wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur pada pukul 3.13 petang.
Mayat kanak-kanak berkenaan dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL untuk dibedah siasat.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nakhoda Batu Caves hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Noor Azmi Yusoff mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Maklumat lanjut berhubung kejadian ini akan dimaklumkan kemudian sebaik siasatan lanjut dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. – BERNAMA

